KUALA LUMPUR – Penganalisis politik dan kolumnis, Datuk Cheah See Kian menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-14 akan dijalankan selepas perayaan Aidilfitri iaitu pada bulan Jun.

Katanya, pertukaran pengerusi-pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) dan pengumuman berita baik untuk penjawat awam dalam Bajet 2017 merupakan petanda awal pilihan raya.

Baru-baru ini, Tan Sri Shahrir Samad yang mempunyai reputasi baik telah diumumkan untuk menggantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baharu.

Menurut See Kian, penjawat awam turut menerima 10 berita baik dalam Bajet 2017 termasuk menerima bonus bernilai RM500.

Jelasnya, dengan populasi penjawat awam sebanyak 1.6 juta orang dan pesara sebanyak 600,000 orang, ia merupakan jumlah yang besar apatah lagi jika ditambahkan dengan pasangan mereka.

Menurut See Kian, kerajaan dijangka mengadakan pilihan raya pada ketika ekonomi negara masih dalam keadaan yang memuaskan.

Katanya, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China telah berjaya membawa masuk pelaburan RM144 bilion yang akan merangsang ekonomi.

Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur dan projek pelabuhan Melaka yang bermula tahun ini juga akan memberi kesan positif kepada ekonomi. — MalaysiaGazette