SPRM

PETALING JAYA – Mereka yang berniat menjadi penjawat awam mungkin perlu melalui peperiksaan baharu iaitu ujian pengesan penipuan (polygraph test).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Bakri, berkata, pihaknya akan mencadangkan ujian itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) khususnya untuk pengambilan kakitangan gred 41 ke atas iaitu mereka yang mempunyai kelayakan universiti.

Katanya, ia merupakan usaha untuk mengesan “potensi rasuah” dalam kalangan calon dan mereka yang gagal melepasi ujian tidak akan berpeluang menjadi penjawat awam.

Menurutnya, alat tersebut dapat mengesan kebolehpercayaan seseorang, menyiasat latar belakang mereka dan “potensi jenayah” yang ada.

Ujarnya, keberkesanan mesin itu boleh mencecah 95 peratus.

“Gejala rasuah dalam sektor awam telah mencapai tahap yang membimbangkan, ia merupakan masa sesuai untuk melaksanakan mekanisme ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Azam berkata, pengesanan penipuan itu harus bermula sebagai percubaan dalam kalangan penjawat awam baharu membabitkan kategori pengurusan, diplomatik dan majistret.

Beliau bagaimanapun berkata, SPA perlu melatih kakitangan yang mahir menggunakan mesin pengesan penipuan.

“Setiap bulan, terdapat ratusan penjawat awam yang melaporkan diri,” katanya.

Ditanya lanjut, Azam berkata, adalah sukar untuk menggambarkan tahap keseriusan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam, tetapi masalah itu berlaku dalam semua peringkat.

“Penjawat gred 41 ke atas adalah petugas barisan depan, rasuah mereka biasanya membabitkan komplot dengan kontraktor. Mereka membantu kontraktor mendapatkan projek.

“Gejala rasuah juga berlaku dalam kalangan penguat kuasa,” katanya.

Azam juga mengakui kos untuk alat pengesan penipuan adalah besar dan ia perlu dikendalikan oleh orang terlatih. — MalaysiaGazette