Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pada ketika penjawat awam dikhabarkan bakal menikmati kenaikan gaji melebihi 13 peratus, pekerja sektor swasta pula dilaporkan berpeluang diberi kenaikan tidak kurang 5.27 peratus.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, syarikat akan menaikkan gaji pekerja berdasarkan prestasi mereka dan nilai pasaran.

Katanya kepada Nanyang Siang Pau, gaji pekerja eksekutif dan bukan eksekutif masing-masing dijangka meningkat 5.27 peratus dan 5.28 peratus.

Beliau berkata, gaji dua kategori pekerja itu telah mengalami kenaikan besar pada kadar 5.88 peratus dan 5.56 peratus pada 2023.

Ujarnya, hasil kajian mengenai gaji adalah memberangsangkan dan pekerja sektor swasta dijangka akan terus menikmati kadar kenaikan yang baik.

“Syarikat menggunakan gaji yang kompetitif sebagai ganjaran kepada pekerja yang berprestasi,” katanya.

Menurutnya, kenaikan gaji penjawat awam tidak akan memberi tekanan kepada sektor swasta, kerana majikan akan menilai gaji dari semasa ke semasa, termasuk menaikkan gaji sekurang-kurangnya sekali dalam tiga tahun.

Beliau bagaimanapun berkata, bukan semua majikan, khususnya daripada perniagaan mikro, mampu membayar gaji minimum.

Tambahnya, di sesetengah negara, perusahaan kecil-kecilan adalah dikecuali daripada peraturan gaji minimum.

Beliau juga menegaskan kepentingan menyediakan sumber tenaga mahir yang mencukupi untuk menarik pelabur ke Malaysia.

Syed Hussain berkata, tenaga mahir mungkin memilih untuk bekerja di tempat yang menyediakan pekerjaan, gaji dan kualiti hidup yang lebih baik.

“Apa yang membimbangkan adalah semakin ramai rakyat Malaysia tertarik dengan gaji tinggi di Singapura, terutamanya dalam keadaan nilai mata wang Singapura yang tinggi,” katanya.