Panda gergasi, Xing Xing

KUALA LUMPUR – Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan hasrat supaya tempoh pinjaman dua ekor panda gergasi di Zoo Negara dilanjutkan, tetapi perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan China.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata, hasil perbincangan antara Malaysia dan China mengenai isu itu akan diumumkan sendiri oleh Anwar atau Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, Zoo Negara berkemampuan untuk menjaga Xing Xing dan Liang Liang walaupun mereka dilihat sebagai sudah berusia.

Katanya, pasangan itu amat sihat sepanjang masa berada di Malaysia, malahan masih berupaya melahirkan anak.

“Berdasarkan pandangan kami, mereka masih boleh membiak dan penjaga masih memerhati musim mengawan mereka,” katanya kepada Sinchew Daily.

Rosly berkata, beliau sendiri dan penjaga berasa keberatan untuk berpisah dengan Xing Xing dan Liang Liang kerana telah bersama selama 10 tahun.

“Xing Xing dan Liang Liang tidak berselera apabila mula-mula sampai di Malaysia. Tetapi mereka telah membiasakan diri sehingga mampu membesar dan membiak secara semula jadi.

“Selama ini, kami telah membina satu hubungan emosi yang mendalam antara satu sama lain.

“Kami pasti akan keberatan untuk berpisah kerana mereka telah menjadi sebahagian daripada Zoo Negara,” katanya.

Xing Xing dan Liang Liang sepatutnya dipulangkan ke China pada 20 Mei selepas menetap di Malaysia selama 10 tahun.