Pengundi mencelup jari ke dakwat bagi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Berbanding semasa pilihan raya negeri, sokongan pengundi Melayu dan Cina kepada PH dianggarkan telah meningkat sebanyak tiga peratus dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.

Sokongan pengundi India pula menunjukkan peningkatan paling menonjol iaitu sebanyak 10 peratus.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ong Chun Wei berkata, sokongan pengundi Cina kepada PH telah meningkat daripada 85 peratus kepada 88 peratus.

Beliau yang juga penyelaras parti untuk Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu berkata, maklumat itu diperoleh melalui analisis awal parti dan kajian yang lebih menyeluruh akan dilakukan oleh parti.

“Dari lapan pusat mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu, kami berjaya menang di enam dan hanya kalah di dua.

“Maklumat yang diperoleh menunjukkan sokongan pengundi Melayu telah naik sebanyak tiga peratus manakala sokongan pengundi India naik 10 peratus,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata, walaupun PH mengharapkan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi, tetapi 62 peratus yang dicatatkan adalah agak memuaskan.

Menurutnya, kejayaan DAP dan PH terletak pada sumbangan mendiang Lee Kee Siong yang mempunyai rekod perkhidmatan yang sangat baik sehingga berjaya memperoleh sokongan pengundi pelbagai kaum.

“Selain itu, pentadbiran kerajaan negeri dan model Kerajaan Perpaduan juga direstui oleh pengundi. Ini menunjukkan pengundi menyokong kestabilan politik,” katanya.

Sementara itu, pemerhati politik, Koh Kok Wee berkata, pada pandangan PH, kemenangan di Kuala Kubu Baharu boleh ditafsir sebagai pengundi Melayu tidak lagi berasa muak dengan kerjasama UMNO-DAP.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa peratusan keluar pengundi oleh pengundi Melayu adalah lebih rendah kali ini.

“Sebenarnya perbezaan sokongan antara PH dan PN dalam pilihan raya kecil berbanding pilihan raya negeri tidaklah terlalu besar.

“PH perlu menunjukkan peningkatan sokongan Melayu yang menonjol jika mahu membuktikan kejayaan kerjasama UMNO-DAP,” katanya.

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr. Chong Fat Full pula berkata, peratusan keluar mengundi orang Melayu yang rendah tidak membantu PN dalam pilihan raya kecil yang diadakan.

“Pengundi keturunan Melayu tidak aktif untuk balik kampung mengundi dan menyebabkan kekalahan PN,” katanya.

Ujarnya, PN juga menerima kejutan apabila keputusan undi awal membabitkan anggota polis dan tentera berpihak kepada PH.

“Mungkin kerajaan PH telah mengumumkan kenaikan gaji pada masa yang sesuai sehingga membantu PH peroleh undi.

“Tambahan pula, pengundi Melayu baru sahaja balik kampung semasa Aidilfitri dan tidak aktif untuk balik kampung pada hari mengundi,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast