Home Ekonomi ASNB beroperasi setiap minggu ketiga

ASNB beroperasi setiap minggu ketiga

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) membuka cawangannya di seluruh negara pada setiap hari Sabtu minggu ketiga setiap bulan tahun ini bermula 21 Januari 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, langkah ini dibuat bagi memudahkan pelabur dan orang ramai yang tidak berkesempatan untuk berurusan dengan ASNB pada hari bekerja, berurusan dengan ASNB tanpa perlu mengambil cuti.

“ASNB menyediakan kemudahan ini kerana kami memahami kesukaran pelabur dan orang ramai untuk berurusan dengan ASNB pada hari biasa.

“Kami harap pelabur dan orang ramai akan mengambil kesempatan berurusniaga pada hari Sabtu ke-3 ini untuk terus melabur dan merancang kewangan bersama kami,” katanya.

Ssemua 30 cawangan ASNB akan beroperasi mulai jam 8.15 pagi hingga 4 petang bagi semua transaksi unit amanah dan perkhidmatan ASNB termasuk urus niaga tunai dan bukan tunai.

Antara urusniaga yang boleh dilakukan termasuklah pelaburan dalam unit amanah ASNB seperti ASB, ASB2, ASM, AS1M, ASW 2020, ASN, ASD, ASN2, ASN3 dan ASG, pelaburan menerusi Skim Ahli KWSP dan pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

Pelabur juga boleh mengemaskini buku pelaburan, alamat dan butiran peribadi serta menukar atau menggantikan buku pelaburan.

Pada hari dan minggu yang sama setiap bulan, ASNB juga akan menganjurkan Seminar Pelaburan 360 Hari secara percuma di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menerusi seminar yang disampaikan rakan sekerja ASNB yang merupakan Perancang Kewangan Bertauliah, peserta berpeluang memantapkan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan serta mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kewangan.

Dua modul yang akan disampaikan ialah Asas Perancangan Kewangan dan Perancangan Pelaburan. Peserta juga akan menerima sijil penyertaan di akhir program.

Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi Cawangan ASNB di seluruh negara dan juga Seminar Pelaburan 360 Hari, sila layari www.asnb.com.my atau Facebook Amanah Saham Nasional Berhad. – MalaysiaGazette