SPRM

KUALA LUMPUR – Dua tokoh korporat termasuk seorang pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa.

Kedua-duanya tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada jam 8.55 pagi tadi ditemani pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan kedua-dua individu berkenaan yang berusia 58 dan 36 tahun ditahan reman sehingga 25 Januari ini.

Pemangku CEO yang juga seorang Datuk ditahan di rumahnya di Tropicana Indah pada Khamis berhubung projek pasport elektronik di Guinea di Afrika.

Beberapa akaun bank dengan nilai RM1 juta telah dibekukan.

Akaun-akaun tersebut di atas nama CEO berkenaan serta isteri dan anaknya.

Seorang lagi suspek, pengurus jualan antarabangsa di syarikat GLC tersebut ditahan di kediamannya di Taman Desa, Jalan Klang lama dalam satu operasi yang diberi nama Ops Guinea.

Kedua-dua individu telah berkhidmat hampir tujuh tahun disiasat atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pembersihan wang haram.-MalaysiaGazette