KUALA LUMPUR – Gelombang bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel kembali dalam parti sejak akhir-akhir ini, khususnya dalam kalangan pemimpin yang kembali semula menyertai parti yang diterajui Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Mahkamah Rayuan Putrajaya baru-baru ini memutuskan bahawa Palanivel mempunyai bukti kukuh kem Subramaniam berkomplot untuk menjatuhkan Ahli Parlimen Cameron Highland itu ketika memimpin MIC.

Berikutan itu, kem Subramaniam dikatakan goyah memandangkan ramai ahli dan pemimpin didakwa mula menyokong Palanivel, lapor akhbar Malaysia Nanban.

Menurut akhbar itu, pada 10 Januari, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan kes perlu dibicarakan setelah mendapati kem Palanivel mempunyai bukti kukuh Subramaniam berkomplot dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam menggulingkan Palanivel dari parti.

Menurut akhbar itu, keputusan tersebut mengakibatkan kedudukan Subramaniam sebagai pemimpin nombor satu parti boleh dipersoalkan.

Malah Mahkamah sama memutuskan kes berkenaan harus didengar dan dibicarakan di hadapan hakim baharu menyebabkan ahli dan pemimpin yang bersama Subramaniam didakwa panik dan tergugat.

Ekoran keputusan itu, ahli dan pemimpin MIC kini didakwa mula beralih ke arah Palanivel, termasuk seorang pemimpin dari Negeri Sembilan bersama penyokongnya baru-baru ini.

Pemimpin itu dikatakan menghubungi Palanivel menerusi telefon dan menyatakan kekesalan membuat keputusan terburu-buru menyertai kem Subramaniam.

Palanivel pula didakwa telah menenangkan mereka sambil menasihatkan mereka bersabar sehingga kebenaran didedahkan secara menyeluruh menerusi perbicaraan. – MalaysiaGazette