Liong Tiong Lai dan Darren Chester dijangka menyambul kepulangan kapal Fugro Equator milik Belanda digunakan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang di Fremantle, Perth, Australia pada Isnin ini. Foto Agensi

CANBERRA – Para waris dan anak kapal pesawat MH370 akan menyerahkan surat kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa pencarian pesawat yang hilang itu diteruskan.

Seorang penyokong Kumpulan Pembelaan Suara MH370, Sheryl Keen berkata, beliau merancang menyerahkan sendiri berdozen-dozen surat daripada waris mangsa kepada Tiong Lai di Perth minggu ini, lapor news,com.au.

Pada minggu lalu, Malaysia, Australia dan China mengumumkan penggantungan operasi pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines selepas imbasan sonar di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di lautan Hindi gagal menemui atau mengesan pesawat Boeing, B777 yang hilang hampir tiga tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, pencarian di dasar laut merupakan paling mencabar yang membabitkan kos sebanyak A$200 juta dengan Australia menyumbang sebanyak A$60 juta.

Penyiasatan masih berterusan, termasuk analisis hanyutan serpihan dan pemeriksaan imej satelit.

Keen yang merupakan pengerusi kumpulan sokongan kemalangan udara Australia itu berkata, dia akan mendapatkan maklum balas daripada Konsulat Malaysia di Perth sama ada dibenarkan untuk berjumpa dengan Tiong Lai selama seminit pada Ahad atau Isnin.

“Secara umum, kandungannya menggesa beliau meneruskan pencarian,” katanya.

 

Pejabat Chester menyifatkan pertemuan antara dua menteri itu tidak rasmi tanpa mempunyai agenda. Kedua-dua menteri dijangka menyambut ketibaan kapal pencarian terakhir, Furgo Equator di Fremantle esok. – MalaysiaGazette