Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un melihat roket balastik di sebuah kawasan tidak dikenali di negara itu.Gambar Fail: Reuters Mac 2016.

Pelancaran sistem pertahanan anti-peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dilengah-lengahkan, kata Pemangku Presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn.

Proses itu katanya, perlu disegerakan sejajar dengan ancaman peluru berpandu nuklear dari Korea Utara.

Katanya, pelancaran sistem Terminal Pertahanan Kawasan Beraltitud Tinggi (THAAD) direka untuk melindungi negara daripada ancaman nuklear dan balistik Korea Utara.

Tetapi China berkata radar berkuasa THAAD mampu menembusi wilayah itu sendiri yang membawa kepada teguran dan gesaan beberapa pemimpin pembangkang Korea Selatan supaya penempatannya ditangguh atau dibatalkan.

“(Korea Utara) telah memperluaskan keupayaan nuklearnya dan membangunkan teknologi untuk mencipta senjata nuklear.

“Sekarang bukan masa untuk bercakap, kita perlu cuba selesaikan ancaman nuklear Korea Utara,” kata Hwang kepada pemberita.

Korea Utara menjalankan siri ujian nuklear dan peluru berpandu walaupun disekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Korea Utara dan Selatan masih berperang secara teknikal kerana konflik tahun 1950 hingga 1953 berakhir dengan gencatan senjata, bukannya perjanjian damai.

Ditanya mengenai reaksi China dalam sistem THAAD, Hwang berkata, terdapat kebimbangan dan lebih banyak masa diperlukan untuk menangani masalah tersebut.

“Hubungan antara Korea Selatan dan China bukannya terjalin dalam tempoh sehari. Kami telah teribat dalam kerjasama pelbagai sejak awal hubungan diplomatik kami bermula,” ujarnya.

Menteri Perdagangan dan Kewangan Korea Selatan bimbang dan mengesyaki China mengambil tindak balas secara tidak lansung dalam soal THAAD, tetapi tidak menyelesaikan isu itu secara terang-terangan.

Hwang bercakap mewakili Presiden Park Geun-hye, yang dipecat Parlimen negara itu kerana didakwa terlibat dalam skandal dan sedang menunggu keputusan mahkamah. – MalaysiaGazette