Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang, Johor Timur dan Sabah (Kudat dan Sandakan) Kelantan dan Terengganu sehingga esok.

Jabatan Meteorologi berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti bot-bot kecil, rekreasi, sukan laut, perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok.

Ribut petir di perairan Melaka dan Johor Barat dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian

Sementara itu, hujan sederhana kadang kala lebat berlaku di negeri Kelantan (Jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang ) dijangka berterusan sehingga esok.

Kawasan lain yang terlibat termasuk di Terengganu, Pahang ( Daerah Kuantan, Pekan, Jerantut, Lipis, Maran, Temerloh, Bera dan Rompin), Johor dan Sabah: Bahagian Sandakan (Daerah Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), Kudat dan Pantai Barat (Daerah Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud dan Ranau) – MalaysiaGazette