Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga kanan) ketika simbolik Majlis Pelancaran Skim Peduli Sihat turut serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi (tiga kiri) di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 JANUARI 2017

GOMBAK- Penduduk di negara ini ramai sakit kerana peruntukan perbelanjaan kesihatan yang buruk dan memalukan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mendakwa, Malaysia mencatatkan sebagai negara yang memperuntukkan perbelanjaan per kapita untuk kesihatan terendah di dunia.

“Pada tahun 2014, WHO melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus daripada KDNK berbanding negara lain seperti Cuba iaitu 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus bahkan Vietnam 7.1 peratus dan negara jiran kita, Thailand sebanyak 6.5 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Skim Peduli Sihat di perkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr. Daroyah Alwi.

Justeru, Mohamed Azmin mendakwa kerajaan Selangor kini menjadi satu-satunya negeri menawarkan program rawatan percuma kepada 1 juta penduduk di negeri itu dalam golongan B40.

Kos bagi tahun ini melibatkan RM125 juta.

Pada sidang media selepas itu, Menteri Besar menafikan peruntukan itu mengabaikan kos membasmi nyamuk Aedes yang mana Selangor sebelum ini antara negeri yang mencatatkan kadar pesakit demam denggi yang tinggi.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM5 juta sudah diberi dan apa yang tinggal lagi ialah memantapkan proses penguatkuasaan dalam kalangan PBT.

“Lagi pun sekarang kes demam denggi di Selangor sudah menurun 15 peratus,” katanya.

Beliau juga menafikan peruntukan Program Skim Peduli Rakyat itu menyebabkan program kebajikan lain di Selangor tidak diberi keutamaan.

“Kita ada senarai keutamaan sejak tahun 2008 bila Pakatan Rakyat dapat mandat dan menjayakan pelbagai program seperti air percuma, bas percuma tapi ada senarai keutamaan,” katanya.-MalaysiaGazette