Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad masih terbelenggu dengan stigma yang mengatakan Singapura adalah musuh.

Sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan melihat hubungan baik di antara Malaysia dengan Singapura serta negara-negara jiran yang lain mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri itu mengenai projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur – Singapura dengan tempoh perjalanan hanya 90 minit.

“Kita tidak boleh melihat negara-negara jiran sebagai musuh politik ataupun ekonomi.
Selatan Johor akan mendapat manfaat daripada projek ini. Sebenarnya kenyataan Dr. Mahathir bukan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Abdul Rahman turut mengulas pendedahan Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat yang mendakwa Dr. Mahathir terlibat di dalam skandal Bumiputra Malaysia Finance Limited (BMF) sehingga menyebabkan negara rugi berbilion ringgit pada 1980an.

Katanya, terlalu banyak yang memperkatakan mengenai perkara tersebut namun kerajaan perlu melihat dokumen-dokumen sebenar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.

“Kita perlu lihat dahulu dokumen dan bukti-bukti yang berkaitan. Satu-satunya orang yang paling layak untuk mengesahkan perkara ini adalah Dr. Mahathir sendiri,” ujarnya. -MalaysiaGazette