SSPN santuni keluarga OKU Zaim Zazami dan isteri di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyantuni keluarga Zaim Zazami yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan isterinya, Kartini Ahmad di Cyberjaya, Selangor menerusi Program Ziarah Kasih.

Dalam kenyataannya hari ini, PTPTN berkata, ziarah itu turut memberi tumpuan kepada persediaan masa depan pendidikan anak tunggal pasangan berkenaan, Zuyyin Kayyisa Zaim Zazami, berusia empat tahun yang bakal memulakan alam persekolahan pada tahun hadapan.

Tambahnya, Zaim Zazami yang merupakan penerima bantuan zakat negeri turut menerima sumbangan CSR PTPTN berjumlah RM1,000 dalam bentuk pembukaan akaun Simpan SSPN Prime bagi membantu menyediakan tabung pendidikan awal untuk kegunaan anak beliau pada masa hadapan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, agensi itu memahami bahawa setiap keluarga mempunyai cabaran dan keperluan tersendiri.

“Sumbangan ini mungkin merupakan satu langkah kecil pada hari ini, namun kami berharap ia menjadi permulaan kepada tabungan pendidikan yang dapat berkembang seiring dengan usianya.

“Kita mahu anak-anak mempunyai persediaan kewangan apabila tiba masanya untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

“PTPTN sentiasa menggalakkan masyarakat menjadikan simpanan pendidikan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan keluarga supaya impian anak-anak untuk melanjutkan pengajian dapat dirancang dengan lebih baik. Inilah antara nilai yang ingin kami bawa menerusi Program Ziarah Kasih ini,” katanya.

Terdahulu, Norliza menyampaikan sumbangan kepada Zaim Zazami semasa program tersebut.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid,  dan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Wan Zawiah Wan Abu Bakar.

Untuk rekod, PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here