KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM1.4 juta kerana gagal memaklumkan kepada Bank Pusat itu dengan segera mengenai suatu hasil siasatan audit berkaitan salah laku peniaga wangnya yang terlibat dalam penetapan kadar pertukaran USD/MYR.

Institusi kewangan tersebut telah membayar penalti yang dikenakan.

Institusi kewangan tersebut telah dipantau dengan rapi dan diarahkan untuk menangani kelemahan dalam kawalan dalamannya bagi memastikan pemakluman segera dibuat hasil daripada siasatan yang nyata serta mengkaji semula dasar,  prosedur dan amalan dalaman dan menyediakan mekanisme pengawasan yang mantap untuk menghalang kegiatan salah guna pasaran.

Bank Negara Malaysia berkata, ini  akan diperlengkap oleh laporan pematuhan dan audit secara berkala. Institusi kewangan ini telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk menangani kelemahan tersebut dan menghalang kegiatan itu daripada berulang.

Bank Pusat itu turut mengingatkan semua institusi kewangan bahawa kegiatan manipulasi pasaran wang dan pertukaran asing adalah dilarang di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).

Institusi kewangan yang mengetahui tentang hasil siasatan sedemikian dikehendaki memberitahu Bank Pusat dengan segera seperti yang dikehendaki di bawah FSA. Bank Negara Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang tersebut, katanya.

Bank Negara Malaysia terus memantau aktiviti pasaran dengan teliti bagi memastikan peserta pasaran tidak terlibat dalam kegiatan manipulasi pasaran wang dan pertukaran asing.

Tambahnya, Bank Negara Malaysia dalam melaksanakan mandatnya di bawah undang-undang, bertanggungjawab untuk memastikan minat awam dan pelabur sebenar terpelihara setiap masa. – MalaysiaGazette