Dzulkifli Mahmud

KUALA LUMPUR – Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi platform perdagangan berikutnya bagi Malaysia dan sembilan negara anggota ASEAN yang lain, membuka pasaran baru untuk lebih tiga bilion orang, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, setelah Amerika Syarikat (AS) mengumumkan keluar daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), RCEP yang diterajui China akan menjadi alternatif bagi Malaysia meningkatkan perdagangannya.

“RCEP boleh membantu syarikat-syarikat tempatan memperluaskan perniagaan mereka di rantau ini selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan AS keluar daripada pakatan perdagangan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama media di sini hari ini.

Dzulkifli, yang akan menamatkan perkhidmatannya dengan MATRADE pada Jumaat ini berkata, Malaysia bernasib baik kerana tidak bergantung kepada satu perjanjian perdagangan untuk merangsang ekonomi dan ia mempunyai pilihan lain, termasuk RCEP dan Komuniti Ekonomi ASEAN.

“Malaysia juga akan meneruskan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan rakan dagang dan menandatangani perjanjian baru …kita sedang meninjau Iran dan Sri Lanka,” katanya.

RCEP merupakan cadangan FTA antara 10 negara ASEAN, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta enam negara yang ASEAN telah mempunyai FTA iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Rundingan RCEP dilancarkan di Sidang Kemuncak ASEAN di November 2012. Prospektif negara anggota RCEP mempunyai penduduk seramai 3.4 bilion orang dengan jumlah keluaran dalam negara kasar sebanyak AS$21.4 trilion (AS$1 = RM4.43), kira-kira 30 peratus daripada KDNK dunia.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, MATRADE menjangka eksport negara berkembang antara satu dan dua peratus tahun ini.

Beliau berkata buat masa ini, jumlahnya masih boleh diterima memandangkan pertumbuhan ekonomi rakan dagang Malaysia juga kurang memberangsangkan.

Dzulkifli merupakan CEO MATRADE sejak 15 Jun, 2015, setelah persaraan Datuk Dr Wong Lai Sum.

Beliau yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 34 tahun, telah bersama agensi itu selama 21 tahun. – MalaysiaGazette