Anifah Aman (kanan) menyerahkan watikah pelantikan Wakil Tetap ke PBB AS kepada Muhammad Shahrul Ikram Yaakob di Wisa Putra hari ini. Foto Ihsan Kementerian Luar.

PUTRAJAYA – Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, 55, dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia yang baharu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Beliau menerima surat pelantikan rasmi itu daripada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Wisma Putra hari ini.

Muhammad Shahrul dijangka memulakan tugas pada minggu pertama bulan depan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha PBB, khususnya berkaitan keamanan dan keselamatan antarabangsa, pembangunan sosial dan ekonomi, dan penggalakan serta perlindungan hak asasi manusia.

Dengan inisiatif ini katanya, Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan negara-negara anggota PBB, Sekretariat PBB dan badan-badan utama PBB yang lain.

Peranan Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York adalah penting untuk mengetengahkan dan mempertahankan kepentingan dan objektif dasar luar Malaysia berhubung isu-isu yang dibincangkan di PBB.

Di antara fokus utama PBB pada masa kini adalah pelaksanaan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dan Agenda Pembangunan Mapan 2030, yang mana matlamat pembangunan mapan telah diambil kira dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Selain itu, Muhammad Shahrul juga bertanggungjawab meneruskan inisiatif-inisiatif yang telah dimajukan oleh Malaysia di Majlis Keselamatan PBB sepanjang keanggotaan bagi penggal 2015-2016.

Ini termasuk menggalakkan kesederhanaan, pengantaraan, pembangunan keamanan, misi pengaman dan pembaharuan Majlis Keselamatan PBB, serta pendirian Malaysia berhubung isu-isu Palestin, MH17, kanak-kanak dan konflik bersenjata, ketakcambahan senjata pemusnah besar-besaran, perlindungan orang awam dalam situasi konflik, isu-kemanusiaan dan perubahan iklim.

Muhammad Shahrul merupakan pegawai kanan Kementerian Luar yang telah berkhidmat sejak 1988.

Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Duta Besar Malaysia ke Austria dari 2010 hingga 2013, Duta Besar Malaysia ke Qatar dari 2007 hingga 2010 dan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria dari 2002 hingga 2005. – MalaysiaGazette