Noh Omar

SHAH ALAM – Kata-kata bukan lagi cara terbaik untuk menegur atau menyedarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor, tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar.

Sebaliknya kata beliau, kepimpinan UMNO akan menggunakan kaedah baharu iaitu melalui perbuatan sebagai simbolik jelas untuk menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai kegagalan kerajaan negeri menangani satu-satu isu atau kes.

“Sebelum ini UMNO sebagai pembangkang di Selangor menegur kepincangan dan kegagalan kerajaan negeri PH melalui kata-kata.

“Hari ini, bukan lagi kata-kata, tetapi perbuatan,” katanya mengulas tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus meletak katil rumah urut dan mengagihkan air krim di depan pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam pada Rabu.

Menurut Noh, simbolik yang dilakukan Jamal itu sebagai tindakan proaktif untuk menyatakan rasa tidak puas hati rakyat berhubung kegiatan rumah urut di Selangor.

Jelas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, sudah banyak aduan dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak lain, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.

“Bagi saya, apa yang dilakukan oleh Jamal itu adalah tindakan proaktif. Rakyat akan tahu dengan jelas kenapa dia lakukan begitu.

“Dulu ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, kita terima pelbagai tohmahan dari pembangkang Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu, kononnya terlalu banyak rumah urut.

“Sejak 2008 hingga hari ini, apabila mereka memerintah, tiga, empat kali ganda pertambahan rumah urut dan pusat perjudian di Selangor. Tidak pula mereka merasakan perkara itu salah,” katanya. – MalaysiaGazette