Home Ekonomi Transaksi e-Ang Pow dijangka melonjak 25%

Transaksi e-Ang Pow dijangka melonjak 25%

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank menjangkakan peningkatan sekurang-kurangnya 25 peratus jumlah transaksi e-Ang Pow pada perayaan Tahun Baru Cina tahun ini berbanding 15,000 transaksi bernilai lebih RM1.6 juta pada 2016.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, Maybank yakin perkhidmatan e-Ang Pow ini akan meningkat memandangkan penerimaan yang semakin baik dalam kalangan para pelanggan untuk perkhidmatan ini.

“Perkhidmatan perayaan yang kami perkenalkan dalam tempoh dua perayaan Hari Raya lepas, yang mana transaksi e-Duit Raya meningkat enam kali ganda berbanding 2015 dan juga penggunaan Tahun Baru Cina e-Ang Pow yang buat pertama kalinya diperkenalkan tahun lalu serta DeepaMONEY ketika perayaan Deepavali,” katanya.

Perkhidmatan ini bukan sahaja selamat, mudah dan mesra, ia juga amat berguna bagi mereka yang
masih ingin menghantar Ang Pow kepada yang tersayang tetapi jauh di mata,” katanya.

Lim menambah Maybank menjangkakan nilai transaksi e-Ang Pow akan turut meningkat kepada lebih RM2 juta tahun ini, dengan bilangan pengguna perkhidmatan ini meningkat kepada
lebih 12,000 pelanggan berbanding kira-kira 10,000 pada 2016.

Menurut beliau, dengan trend perbankan dalam talian yang semakin meningkat, Maybank mencatatkan nilai
transaksi RM237 bilion bagi tahun 2016, naik 36 peratus berbanding 2015 dengan peningkatan 41 peratus
dalam jumlah urus niaga.

Sehingga suku ketiga 2016, Maybank menguasai 63 peratus bahagian pasaran dalam perbankan mudah alih dan
52 peratus dari segi jumlah transaksi dalam talian.

Lim juga berkata,  pada tahun ini, Maybank akan menawarkan kejutan pada hari-hari tertentu kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan e-Ang Pow untuk menghantar wang kepada orang yang tersayang, dan juga beberapa kemudahan perbankan perayaan lain.

Bagi mereka yang ingin menghantar hadiah wang tunai kepada yang tersayang di luar negara, Maybank kini menawarkan M2U Visa Direct di mana tunai yang boleh dihantar melalui Maybank2u untuk kredit serta-merta kepada pemegang kad Visa kredit, debit atau prabayar luar negara, dengan kos minimum RM10. – MalaysiaGazette