Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR- Selepas didakwa anti Islam, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini membuat kenyataan membantah keputusan Donald Trump yang menghalang warga dari tujuh negara Islam daripada masuk ke Amerika Syarikat.

Malah Ahli Parlimen Gelang Patah itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) supaya mendesak Presiden Amerika Syarikat itu membatalkan arahan eksekutif itu yang didakwanya bersifat anti Islam.

“Perdana Menteri harus menghantar mesej segera kepada Trump untuk membantah perintah eksekutif ini sebagai satu bentuk penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan tidak menunjukkan nilai Amerika Syarikat yang sebenar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Trump sebelum itu mengarahkan menghalang visa kemasukan ke Amerika daripada warga tujuh negara Islam iaitu Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yemen dihalang buat sementara waktu.

Kenyataan Kit Siang nampaknya mendahului rakan-rakannya dari parti lain yang ramai ahli beragama Islam seperti PKR, PAN dan PPBM dan ia menimbulkan kemusykilan.

Jelas Kit Siang yang didakwa sebagai anti Islam di negara ini oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba memperjuangkan negara Islam lain menggunakan polisi Trump di Amerika Syarikat sebagai alasan.

Ia juga dilihat sebagai ‘perangkap’ tokoh veteran parti DAP itu kepada Perdana Menteri yang sebelum ini membuat kenyataan akan berbaik dengan Trump yang terpilih sebagai presiden menggantikan Barack Obama baru-baru ini.

Kelmarin Kit Siang menafikan dakwaan Abdul Hadi yang beliau seorang anti Islam dan bersedia mengambil tindakan perundangan kepada Ahli Parlimen Marang itu.-MalaysiaGazette