Puteri Diana

LONDON – Setelah 20 tahun kematian Puteri Diana, dua anaknya bersetuju untuk membina tugu puteri Wales itu.

Tugu itu akan dibina di Istana Kensington yang merupakan salah satu tarikan ke bandaraya tumpuan dunia itu.

Menurut ENews! Putera William dan Putera Harry berharap pembinaan tugu itu dilihat langkah tepat untuk menyebarkan kesan positif yang pernah dibawa mendiang ibunya.

“Selepas 20 tahun kematian ibu kami, ini merupakan masa yang tepat untuk mengingati beliau, dengan adanya tugu itu, seluruh dunia dapat merasakan kesan positifnya.

“Ibu kami pernah menyentuh ramai orang, oleh itu kami mengharapkan agar dia akan terus berbuat demikian dengan adanya tugu tersebut apabila orang ramai datang melawat ke sini,” kata William dan Harry dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Kensington.

Puteri Diana maut dalam kemalangan jalan raya di Paris pada 31 Ogos 1997 selepas dikejar oleh paparazi.

Walaupun sebahagian daripada istana ini terbuka kepada orang ramai, kompleks tersebut turut memuatkan rumah putera diraja itu.

Putera Harry tinggal bersendirian manakala Putera William tinggal di sebuah pangsapuri bersama isterinya, Kate Middleton dan anak-anak mereka, Putera George, 3 tahun dan Puteri Charlotte, 1 tahun.

Sementara itu, Puteri Diana juga pernah tinggal di salah sebuah pangsapuri tersebut dan membesarkan anak-anaknya di sana walaupun sudah bercerai dengan Putera Charles.

Dalam tinjauan di laman sosial Facebook, ramai pengguna bersetuju dengan idea itu dan hal itu telah menjadi antara trending tertinggi di dunia semalam. – MalaysiaGazette