Home Dunia Jangan pertahan perintah eksekutif Trump – Yates

Jangan pertahan perintah eksekutif Trump – Yates

Sally Yates

WASHINGTON – Pemangku Peguam Negara Amerika Syarikat memberitahu Jabatan Keadilan negara itu agar tidak mempertahanan perintah imigresen Donald Trump.

Sally Yates yang dilantik oleh Barack Obama berkata, beliau tidak yakin perintah eksekutif itu ‘halal’.

Presiden Trump telah mengharamkan kemasukan warga negara dari tujuh buah negara yang majoritinya Islam, mencetuskan bantahan jalanan di Amerika Syarikat.

Negara-negara terbabit ialah Iraq, Iran, Syria, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

Tindakan itu turut menyebabkan beratus-ratus diplomat Amerika Syarikat telah merangka satu draf untuk mengkritik perintah itu secara rasmi.

Draf itu menyatakan sekatan imigresen tidak membuat keadaan lebih selamat kepada Amerika Syarikat sebaliknya menghantar mesej yang salah kepada dunia Islam.

Perintah mahkamah yang menyekat perintah itu juga telah dibuat di beberapa negeri pada hujung minggu.

Dalam surat kepada pekerja yang diterbitkan oleh media Amerika Syarikat, Yates berkata, perintah itu telah dicabar di mahkamah dalam beberapa bidang kuasa.

“Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan kedudukan Jabatan Keadilan bukan sahaja mempertahankan undang-undang tetapi untuk memberitahu pandangan kami apa yang terbaik dalam undang-undang.

“Saya bertanggungjawab untuk memastikan kedudukan dalam mahkamah tetap konsisten dengan kewajipan institusi ini yang sentiasa mencari keadilan dan berdiri untuk apa yang betul,” katanya.

Yates adalah timbalan pendakwa raya di bawah Loretta Lynch semasa pemerintahan Obama. Beliau kini menjadi pemangku selepas Lynch meninggalkan jawatan itu.

Trump telah meminta Yates kekal sebagai ketua di Jabatan Keadilan sebagai pemangku sehingga presiden itu melantik calonnya. – MalaysiaGazette