Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang dijangka bertemu esok

KUALA LUMPUR – Pertemuan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Pas yang dijadualkan Khamis ini, dikatakan telah dipercepatkan kepada esok.

Menurut sumber dalaman Pas, beliau tidak dapat memaklumkan lokasi dan waktu pertemuan itu kerana bimbang akan menjejaskan keputusan yang telah dicapai antara kedua-dua pihak.

PPBM dan Pas dilaporkan akan bertemu 2 Februari ini untuk membincangkan kerjasama antara kedua-dua parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewakili PPBM, manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang mewakili Pas.

PPBM yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) mengharapkan berlaku pertandingan dua penjuru antara pembangkang dengan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Pas yang memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR) dua tahun lalu dan tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) telah menubuhkan blok ketiga pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Pertemuan itu juga dikatakan mendapat bantahan daripada ahli dan penyokong PPBM berikutan tindakan beberapa pemimpin Pas mengecam Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pas dari kawasan Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, perjumpaan itu sudah tentu menarik perhatian semua pihak khususnya pemerhati dan penggerak politik tanah air terutama pimpinan UMNO.

Katanya, ini disebabkan tujuan pertemuan itu tidak lain daripada untuk membincang dan mencari ruang kerjasama antara kedua pihak bagi menghadapi PRU14 nanti.

“Menariknya apabila Pas dan PPBM sedang merangka untuk mengorak langkah mencari ruang membentuk kerjasama, tetapi pada masa sama, Pas dan UMNO sudah pun mesra menjalin hubungan ‘kerjasama’ dalam istilah ta’awun.

“Walaupun hubungan kerjasama Pas dan UMNO tidak dinamakan ‘kerjasama politik’ secara terang-terangan, tetapi UMNO dan Pas begitu selesa dengan pendekatan ta’awun yang sudah tentu kedua-dua parti mahukan pulangan keuntungan politik dari pendekatan ta’awun tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette