SPRM

IPOH- Sepasang suami isteri yang menjadi pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Ops Sealord pada Mac 2015, telah dijatuhkan hukuman penjara selepas didapati bersalah di Mahkamah Khas Rasuah, Ipoh, hari ini.

Hakim S.Indra Nehru menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara terhadap Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 38, bagi setiap empat pertuduhan yang dijalankan serentak bermula hari ini serta denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan jika gagal dibayar dikenakan penjara tiga bulan.

Manakala isterinya, Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 35, dikenakan hukuman penjara enam bulan bagi dua pertuduhan yang turut dijalankan serentak bermula hari ini dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta penjara tiga bulan jika gagal bayar.

Rizalman berdepan dengan empat pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 iaitu menerima benda berharga keseluruhan RM420,852.

Empat pertuduhan yang dikenakan terhadap Rizalman adalah seperti berikut:

Pertuduhan pertama, dakwaan menerima daripada seorang individu wang suapan RM175,841.41 melalui sekeping kad ATM CIMB Prefered bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

Pertuduhan kedua, dakwaan menerima daripada seorang individu wang suapan RM15,000 melalui sekeping kad ATM CIMB Prefered bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

Pertuduhan ketiga, dakwaan menerima daripada seorang individu wang suapan bernilai RM30,011.44 melalui sekeping kad ATM Affin Bank bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat-syarikat di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

Pertuduhan keempat, dakwaan menerima daripada seorang individu iaitu wang suapan RM200,000.00 melalui sekeping kad ATM Affin Bank bagi pihak isterinya sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan antara bulan Oktober 2014 sehingga Januari 2015 di No 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Sri Manjung, Manjung Perak.

Sementara itu isterinya, Rozlin pula didakwa dengan dua tuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima benda berharga keseluruhan RM230,011.

Di bawah pertuduhan pertama, Rozlin dituduh menerima suapan daripada seorang individu melalui suaminya, Rizalman wang suapan sebanyak RM30,011.44 melalui sekeping kad ATM Affin Bank sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dituduh menerima suapan daripada seorang individu melalui suaminya wang suapan bernilai RM200,000 melalui sekeping kad ATM Affin Bank sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 15 Oktober 2014 dan 2 Januari 2015.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Azah Kasran manakala pasangan terbabit diwakili peguam Leftenan Komander (B) Norhasham Hasan dan Shahril Adli Zain.