WASHINGTON – Amerika Syarikat akan membenarkan 872 pelarian memasuki negara itu minggu ini walaupun perintah eksekutif Presiden Donald Trump pada Jumaat lalu melarang kemasukan pelarian untuk sementara waktu dari mana-mana negara.

Semalam Reuters melaporkan maklumat itu berdasarkan dokumen dalaman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang dikajinya.

Pegawai jabatan itu mengesahkan kelonggaran sekatan itu sambil menegaskan pelarian dianggap transit dan isu penempatan semula pelarian telah diselesaikan sebelum larangan memasuki AS dilaksanakan dua hari lepas.

Kelonggaran itu diluluskan (DHS) dan Jabatan Negara berikutan protes di peringkat antarabangsa ke atas arahan yang dilakukan secara tergesa-gesa itu.

Beberapa pihak mendakwa arahan itu tidak sampai kepada agensi bertanggungjawab untuk dilaksanakan.

Namun masih belum dipastikan sama ada kelonggaran tambahan telah diluluskan untuk pelarian.

Dokumen itu juga tidak menyebut kewarganegaraan pelarian yang akan dibenarkan memasuki AS.

Hujung minggu lalu, pelawat daripada tujuh negara Islam juga ditahan di beberapa lapangan terbang antarabangsa di AS berikutan arahan Trump.

Negara-negara itu adalah Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yemen.

Dokumen DHS itu berkata, antara lewat Jumaat dan Isnin lalu, sebanyak 348 pemegang Visa disekat meneruskan penerbangan ke AS manakala 200 orang yang telah mendarat di AS dihalang memasuki negara itu.

Lebih 735 orang disoalsiasat oleh para pegawai Perlindungan Sempadan dan Kastam AS termasuk 394 pemastautin tetap yang memiliki kad hijau AS yang sah.

Sebagai mempertahankan tindakan itu, Trump mendakwa perintah eksekutif tersebut bertujuan melindungi AS daripada akses pengganas luar negara. – MalaysiaGazette