Kawasan operasi dan menyelamat bot karam di perairan diperlukan. - Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Kawasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari enam lagi mangsa tragedi bot karam di Sabah yang masih hilang diperluas hingga meliputi kawasan seluas 3,900 batu nautika persegi.

Pegawai Maritim Rescue Sub Centre (MRSC), Nur Hafiza Hassan berkata pencarian hari ini juga mula memasuki kawasan perairan Miri, Sarawak.

“Laut pada hari ini agak bergelora dan menyukarkan operasi pencarian,” katanya ketika memberi taklimat kepada media berkenaan operasi SAR yang memasuki hari kelima.

Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menugaskan empat buah kapal, sebuah bot dan sebuah pesawat manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebuah pesawat.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menugaskan dua kapal dan dua buah bot manakala Pasukan Polis Marin pula menggerakkan empat buah bot.

Negara Brunei Darussalam pula menugaskan sebuah kapal dan sebuah pesawat bagi melaksanakan SAR di kawasan perairan negara berkenaan, katanya.

Katanya operasi SAR berkenaan dilaksanakan 24 jam melibatkan aset-aset di permukaan laut manakala pesawat berlepas ke kawasan carian seawal 7.30 pagi tadi. – MalaysiaGazette