KUALA LUMPUR – Derita penyanyi Stanza Sepi Sekeping Hati, Ben Nathan yang mengundang rasa prihatin peminatnya selepas tersebar video mengenainya mungkin berakhir tidak lama lagi.

Penyanyi era 1980-an itu akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira 12.30 tengahari tadi bagi membolehkan rawatan dilakukan dengan inisiatif rakan artisnya, Datuk DJ Dave.

Dave yang juga Presiden Yayasan Artis 1Malaysia memberitahu, Ben akan dirawat dan dipantau selama seminggu di HKL.

Menurutnya, pada mulanya Ben menolak kerana melihat ada anggota polis menyertainya namun akur dengan pujukannya bersama adiknya, Shanti selama setengah jam dalam satu pertemuan di Brickfields hari ini.

“Kita bukan hendak menangkap Ben, tapi mahu mengikut produser ditetapkan (diiringi polis dan rawatan hospital),” katanya.

Difahamkan, Ben atau namanya Islamnya Ben Adam Patmanathan Abdullah itu mengalami masalah gangguan dan lemah semangat sejak sembilan tahun lalu dan sejak itu kelihatan merayau walaupun tidak menganggu orang.

“Kita serahkan kes Ben ini kepada JKM dan agensi berkaitan. Ben mungkin ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Dave seterusnya menasihati peminat tidak menyalahkan keluarga Ben kerana mereka sentiasa memantau keadaannya tetapi Ben sering mengelak untuk pulang ke rumah.

Dave juga merancang untuk menyediakan platform kepada Ben membuat persembahan dan memberinya peluang kembali ke dunia hiburan tanahair.

“Saya ada berbincang dengan Tan Sri Jojo (Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir) dan beliau juga peminat lagu-lagu Ben.

“Mungkin selepas ini, Ben boleh buat persembahan di MATIC atau di Hard Rock Cafe (milik Tan Sri Jojo),” kata Dave.

Sementara itu, Ben juga mengakui dia masih mampu menyanyi dan mengubah lagu kepada Dave pada pertemuan yang sama.

Malah beliau sempat mengimbas membuat persembahan bersama Dave dalam satu majlis sekitar 1980-an.-MalaysiaGazette

Sepi sekeping hati milik Ben Nathan