KUALA LUMPUR- Cadangan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk telah mendapat kelulusan kementerian pertanian republik berkenaan.

The Edge Financial Daily melaporkan telah melihat surat rasmi berhubung perkara tersebut.

Mengikut surat rasmi yang dilihat oleh The Edge Financal Daily, Direktorat Jenderal Perkebunan (DJP) kementerian tersebut pada 25 Januari lalu telah meluluskan pengambilan alih Eagle High sekali gus membolehkan Felda menyelesaikan urusniaga yang mendapat kritikan hebat pelbagai pihak.

Ketika berita ini disiarkan, DJP tidak memberi maklum balas bagi mengesahkan berita tersebut.

Pada 23 Disember lalu, anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn. Bhd. memeterai perjanjian dengan Kumpulan Rajawali untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan di dalam Eagle High pada harga RM2.26 bilion.

Menurut Felda, pengambilan alih itu adalah sejajar dengan matlamatnya untuk menjadi salah satu daripada kumpulan perdagangan minyak sawit terbesar dunia.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk Pengerusi CIMB Group yang juga anak bongsu kepada pengasas Felda, Datuk Seri Nazir Razak yang menyifatkan nilai urusniaga berkenaan terlalu mahal.

Nazir yang menyuarakan pandangan tersebut melalui instagramnya mengatakan premium bagi pengambilan alih itu 173 peratus melebihi purata harga saham Eagle High pada November.

Namun Felda tidak menyatakan butiran lanjut mengenai pembelian tersebut kerana masih menunggu kelulusan pihak berkuasa Malaysia.- MalaysiaGazette