Mohd Anuar Tahir

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) segera melaporkan kepada Pakatan Harapan (PH) berkenaan kerjasama parti itu dengan Pas semalam.

Setiausaha Agung PAN, Mohd. Anuar Tahir berkata, selain partinya, PPBM perlu melaporkan perkembangan kepada rakan lain dalam PH iaitu PKR dan DAP.

“PAN secara konsisten menjunjung semangat muafakat yang telah disepakati bersama dalam perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara PH dan PPBM sebelum ini bahawa sebarang perundingan bilateral dengan pihak lain perlu dilapor kembali,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kerjasama PPBM dengan Pas dan kedua-dua parti itu dikatakan akan membentuk satu jawatankuasa teknikal berhubung perkara yang sama.

Nampaknya walaupun tidak kata tidak setuju dengan tindakan PPBM bekerjasama dengan Pas, PAN cuba juga melahirkan rasa sangsi mereka terhadap perhubungan itu.

PAN sebelum ini merupakan parti serpihan Pas dan pimpinan utamanya termasuk beberapa wakil rakyat sekarang memenangi kerusi atas tiket Pas semasa pilihan raya umum yang lalu.-MalaysiaGazette