Thursday, March 28, 2024
Home Politik Belum ada keputusan muktamad jalin kerjasama

Belum ada keputusan muktamad jalin kerjasama

ABDUL HADI AWANG

KUALA TERENGGANU – Mesyuarat jawatankuasa induk bersama antara Pas dan Bersatu yang diadakan di Kuala Lumpur kelmarin, belum memutuskan sebarang bentuk kerjasama.

Sinar Harian melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berkata, beliau belum menerima sebarang laporan hasil pertemuan yang diadakan antara dua parti itu.

Menurutnya, Jawatankuasa Pas Pusat yang bertanggungjawab membuat keputusan berhubung sebarang bentuk kerjasama antara Pas dan parti lain.

“Setakat ini saya belum terima laporan hasil pertemuan dirancang Bersatu, kita dengar saja tapi tak ada apa-apa keputusan.

“Kita sudah buat satu garis panduan tak akan bekerjasama dengan parti yang menjalin kerjasama dengan DAP dan Amanah,” katanya, petang semalam.

Mengulas kerjasama dengan Bersatu, katanya, pihaknya sedang menilai dengan lebih jelas sikap Bersatu, DAP dan Amanah, termasuk hal-hal lain yang berkait dengan Pas.

Beliau berkata, Pas telah memaklumkan pendiriannya kepada parti yang mahu bekerjasama supaya mengutamakan politik matang dan bukan politik tegang.

“Kita mahu politik matang dan sejahtera, bukannya politik fitnah dan tegang, ini pendirian Pas,” katanya. – MalaysiaGazette