KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi pertimbangan sewajarnya terhadap kesukaran rakyat dalam berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup sebelum mengumumkan sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, kerajaan janganlah meningkatkan lagi tekanan hidup yang dihadapi oleh rakyat di tengah-tengah keadaan ekonomi yang cukup mencabar sekarang.
“Cukup-cukuplah hendak menaikkan segala harga barangan dan perkhidmatan. Rakyat sudah tidak tertanggung dengan kenaikan demi kenaikan.
“Kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan, ketua-ketua kementerian dan menteri, tinjau dan jenguklah kehidupan rakyat, kehidupan penjawat awam yang berpendapat kecil sebelum hendak mencadangkan sebarang kenaikan.
“Selami kehidupan mereka yang semakin terdesak. Jangan pula ditambah dengan pelbagai kenaikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Meskipun cadangan kenaikan caj rawatan pergigian telah dibatalkan, Azih berkata, jika hendak dinaikkan pun nanti, janganlah kenaikan mencecah ratusan atau ribuan peratus, tetapi memadai pada angka yang munasabah.
“Janganlah setiap kali hendak menaikkan harga, masa itulah kata sudah 30 tahun, 40 tahun tidak naikkan harga. Pertimbangkan juga keluh-kesah rakyat.
“Rakyat memang tidak ada tempat bergantung lain kecuali kepada kerajaan. Dan, kerajaan pun perlu sokongan rakyat untuk memerintah. Patut sama-sama jaga,” ujarnya.
Azih mengakui, kesan kenaikan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan semakin ramai penjawat awam semakin sukar menjalani kehidupan harian.
Dalam pada itu, CUEPAC kesal dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyatakan jumlah kakitangan awam negara terlalu ramai.
Azih berkata, kerajaan tidak perlu mengungkit tentang perkara itu kerana sudah menjadi tanggungjawabnya menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.
“Adakah kerajaan mahu memindahkan perkhidmatan yang ada menjadi swasta? Sepatutnya isu ini tidak dibangkitkan memandangkan di luar sana beribu-ribu graduan masih gagal mendapat pekerjaan dan yang ada pula dikatakan ramai,” kataanya.
Baru-baru ini, Johari berkata, jumlah penjawat awam negara adalah terbesar dengan nisbah seorang kakitangan kepada 19.37 orang rakyat.
Jumlah itu berbeza dengan Singapura 1:71.4 orang penduduk; Indonesia 1:110, Korea 1:50, China 1:108, Jepun 1:28, Rusia 1:84 dan United Kingdom 1:118. – MalaysiaGazette