Tengku Adnan Mansor

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar DAP yang didakwa silap menafsir kenyataannya mengenai Melayu di Pulau Pinang.

Menurutnya, parti pembangkang itu tidak membaca dan memahami kenyataan beliau dengan tepat.

“Kenyataan saya hanya menyatakan harapan, cadangan sahaja menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan, saya juga boleh wish Langkawi, Melaka atau Pulau Tioman, itu harapan saya sahaja.

“Pembangkang ini masalahnya tak baca kenyataan saya dengan betul.

“Saya dalam harapan itu bukan sahaja (kata) Melayu dipinggirkan di sana (Pulau Pinang), semua bangsa juga dipinggirkan, kenapa pula dia pergi petik Melayu sahaja,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2017 anjuran kementeriannya sempena Hari Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Ditanya sama ada akan menarik balik kenyataan itu, Tengku Adnan menjawab, beliau tidak akan mempedulikan gesaan pembangkang itu kerana kenyataan beliau merujuk semua kaum secara menyeluruh bukan Melayu sahaja.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng telah membuat laporan polis ke atas Tengku Adnan yan juga Setiausaha Agung UMNO dan Ahli Parlimen Putrajaya itu berbaur fitnah.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kerajaan akan memastikan harga rumah berpatutan untuk semua warga kota tanpa mengira kaum.

“Kami laksanakan apa yang kami katakan, bukan macam pembangkang,” katanya lagi.

Dalam soal yang sama, beliau juga mengesahkan polis telah menghubunginya dan bersedia memberi keterangan apabila dipanggil nanti.

“Tidak apa, biar dia (Lip Eng) buat laporan, saya telah pun dipanggil polis, polis akan datang jumpa saya atau saya akan pergi jumpa mereka beri keterangan nanti, tidak ada masalah,” tegasnya lagi.- Malaysiagazette