Seorang Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Keengganan untuk meninggalkan pejabat selepas waktu bekerja merupakan salah satu daripada lima petanda seseorang pekerja mungkin terlibat dalam penyelewengan.

Selain itu, keengganan pekerja mengambil cuti panjang juga berkemungkinan mempunyai undang di sebalik batu.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar berkata, maklumat merupakan aset penting tidak kira untuk agensi kerajaan atau syarikat swasta.

Katanya, pekerja justeru mungkin menunggu majikan dan rakan sekerja lain meninggalkan pejabat supaya dia boleh mencuri dan menjual maklumat sulit kepada pihak lain.

Kata beliau, sering kedengaran bahawa pekerja bank mencuri maklumat pelanggan dan menjualnya dengan harga tinggi kepada pihak lain.

“Kejadian sama bagaimanapun tidak berlaku di Singapura kerana warga negara itu terdidik dan pegawai banknya mempunyai etika kerja yang baik,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.

Menurutnya, kajian Persatuan Pemeriksa Penyelewengan Bertauliah (CFE) Amerika Syarikat juga mendapati bawa pegawai yang menolak peluang kenaikan pangkat dan gaji mungkin terlibat dengan rasuah.

Katanya, pegawai yang terlibat dalam perolehan sebagai contoh mungkin menolak tawaran pemindahan atau kenaikan pangkat kerana selesa dengan ‘pendapatan sampingan’ yang ada.

Akhbar berkata, pegawai yang terlibat rasuah juga tidak sanggup bercuti panjang selama belasan hari kerana bimbang rahsia terbongkar apabila tugasnya diambil alih rakan sekerja lain semasa tempoh cuti.

Katanya, sesetengah syarikat multinasional yang menyedari hakikat itu telah mewajibkan pekerja mereka bercuti dan berehat.

Akhbar berkata, tanda penyelewengan keempat ialah seseorang hidup secara mewah.

Katanya, pegawai yang mempunyai hubungan terlampau mesra dengan pelanggan juga perlu dicurigakan kerana golongan ini mudah mendapat ‘durian runtuh’ melalui hubungan yang ada. – MalaysiaGazette