Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
JOHOR BAHRU – Berikutan kompaun tertunggak kini mencecah RM11.3 juta, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mempergiatkan proses pendakwaan terhadap pemilik kenderaan dan penerima notis kompaun yang masih berdegil dan belum menjelaskan kompaun itu.

Datuk Bandar Johor Bahru A Rahim Nin berkata tunggakan itu adalah dari bulan Mei hingga Disember 2016 lalu membabitkan 367,000 notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Perintah Lalu-Lintas Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBJB.

“Jumlah ini melibatkan kesalahan tidak mempamerkan kupon meletakkan kenderaan dan sehingga kini sebanyak 6,440 surat peringatan telah diedarkan kepada pemilik kenderaan yang belum menjelaskan kompaun mereka.

“Pemilik kenderaan ini perlu ingat bahawa mereka boleh didakwa dan dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM300 selain membayar kepada Datuk Bandar apa-apa bayaran lain yang perlu dibayar di bawah peruntukan ini,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB bagi bulan Januari 2017 di Ibu Pejabat MBJB di sini, hari ini.

Menurutnya, MBJB memandang serius perkara itu dan akan mengenakan tindakan yang tegas bagi mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut.

Dalam pada itu, Rahim juga memaklumkan MBJB melanjutkan tempoh pembaharuan lesen perniagaan sehingga 30 Mac ini yang pada kebiasaannya dilakukan pada awal tahun iaitu pada 1 Jan 2017 bagi mengurangkan kesesakan urusan di kaunter MBJB.

“Kita berharap langkah ini akan dapat memberi kemudahan kepada peniaga dan penjaja dalam memperbaharui lesen mereka dan kita juga amat menggalakkan mereka menyelesaikan urusan ini pada seawal mungkin dan bukan menunggu hingga saat-saat akhir.

“Tarikh akhir bagi memperbaharui lesen perniagaan ini adalah sebelum 1 April 2017 dan mana-mana peniaga atau penjaja yang gagal berbuat demikian akan dikenakan denda dua kali ganda daripada harga lesen mereka,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan jumlah kutipan hasil MBJB pada tahun 2016 bernilai lebih RM320 juta dengan sebahagiannya datang daripada hasil cukai sebanyak RM189 juta, manakala hasil bukan cukai pula berjumlah RM64 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM74 juta. – MalaysiaGazette