Home Dunia Lebih 100 maut akibat ribut, runtuhan salji di Pakistan, Afghanistan

Lebih 100 maut akibat ribut, runtuhan salji di Pakistan, Afghanistan

KABUL – Runtuhan dan salji yang lebat telah mengorbankan lebih 100 orang di Afghanistan dan Pakistan.

Sekurang-kurangnya 45 orang maut dalam satu kampung selepas runtuhan salji di Nuristan, wilayah Afghan timur laut di sempadan Pakistan.

Tiga belas orang turut terbunuh dalam runtuhan salji di utara Pakistan, sembilan daripada mereka di bandar Chitral.

Sebuah perkampungan di Afghanistan yang terjejas akibat runtuhan salji. - Foto Agensi
Sebuah perkampungan di Afghanistan yang terjejas akibat runtuhan salji. – Foto Agensi

Berpuluh-puluh buah rumah telah musnah dan mangsa dilaporkan mati kesejukan selepas terperangkap dalam kereta.

Runtuhan salji juga berlaku di Kabul dan telah memusnahkan dua buah kampung, menurut Kementerian Bencana Alam.

Daerah pergunungan Badakhshan turut dilanda ribut salji yang teruk manakala lapangan terbang Kabul ditutup selepas landasan dilitupi salji dan ketulan ais.

Sementara itu di Lebuh raya Kabul-Kandahar pula, polis dan tentera dikerah untuk menyelamatkan 250 kenderaan yang terperangkap.

Sekurang-kurangnya dua pemandu yang terperangkap ditemui mati akibat beku. Berpuluh-puluh lagi penduduk kelaparan akibat ketiadaan bekalan makanan.

Penduduk di Pakistan dan Afghanistan diberi amaran bahawa ribut salji dijangka berterusan. – MalaysiaGazette