Datuk Seri Mustafar Ali

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen meningkatkan penguatkuasaan terhadap semua insititusi pengajian tinggi di negara ini yang terlibat dalam penyalahgunaan pas pengajian dan visa pelajar.

Penyalahgunaan pas dan visa itu digunakan sindiket pelacuran, GRO dan pekerja pusat hiburan, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurut beliau, pemantauan mendapati insitusi swasta dan pusat bahasa di sesetengah IPT antara premis yang paling banyak terlibat dalam kesalahan menyalahgunakan visa pelajar luar negara.

“Institusi pengajian atau universiti swasta serta pusat-pusat yang menggelar sebagai ‘pusat bahasa’ di negara ini menyalahgunakan pelajar yang memasuki negara ini untuk meneruskan pengajian sebenarnya hanya untuk bekerja.

“Mereka didapati memohon visa sebagai pelajar tetapi kemudian menggunakan untuk bekerja di pelbagai premis yang terlarang antaranya pusat hiburan, pelacuran dan GRO dengan sindiket tertentu.

“Mereka memohon dengan gambar-gambar menunjukkan kuliah dan kelas tutorial dan kemudahan lengkap, bila buat pemeriksaan kami mendapati pelajar tiada dan apabila disiasat mereka bekerja di tempat-tempat terlarang lebih sesuai kata menyalahgunakan pas dan visa pelajar

“Kami menerusi pemantauan dan pemeriksaan secara senyap berjaya mengetahui kegiatan mereka ini dan Imigresen memantau secara lebih dekat kesemua institusi pengajian swasta termasuk pusat bahasa menipu itu,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) di sini hari ini.

Tambah Mustafar,  Jabatan Imigresen sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pelancongan untuk memastikan negara terus menjadi hub pendidikan tersohor di rantau Asia dan antarabangsa.

“Bagaimanapun Imigresen tidak akan berkompromi dalam menjaga dan menjamin kedaulatan dan keselamatan negara sehingga tanahair kita dilacurkan dengan perbuatan penyalahgunaan pas pelajar oleh institusi pengajian negara ini.

“Insitusi pengajian berkaitan harus mengawai pelajar secara dekat termasuk melihat kehadiran mereka untuk pengajian yang diikuti dan jangan bersubahat menipu semua demi kepentingan komersial atau keuntungan sahaja.

“Mana-mana institusi pengajian dan puat bahasa yang beroperasi sebagai pusat pengrekrutan pelajar untuk aktiviti tidak berfaedah dengan salah gunakan pas pelajar akan berdepan tindakan berat,” katanya lagi.

Bagi tujuan itu jelas beliau, satu ketetapan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tahap Tinggi (HLC) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Januari lalu.

Langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi memastikan pelajar yang benar-benar berkualiti dibawa masuk ke Malaysia dan pengurusan pelajar aisng dipastikan supaya sempurna dan telus oleh insititusi pengajian telah dilaksanakan.

“Pertama, penetapan had pengambilan pelajar asing mengikut kapasiti institusi melalui Sistem pendaftaran permohonan Pelajar (STAR) dan EMGS kepada Universiti Awam dan Univerisiti Swasta, Pusat Bahasa dan Pusat Latihan mengikut garis panduan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Penetapan permohonan perlu terdiri daripada minimum tiga negara pelajar dalam sistem STAR untuk mengelak dominasi sesebuah negara.

“Hanya institusi yang memperoleh MyQuest 4 atau setara 5 yang ditetapkan KPT sahaja dibenarkan mengambil pelajar asing dan pelaksanaan bayaran security bond bagi setiap pelajar oleh Imigresen dan pemantauan berkala oleh Imigresen serta Pelaksanaan eVAL dan perluasan eVISA kepada pelajar asing.

“Ia akan membolehkan surat kelulusan pas pelajar dicetak dalam talian oleh institusi pengajian dan pelajar asing membolehkan permohonan visa dengan rujukan dibuat secara online yang akan memudahkan isu kelewatan penerimaan surat kelulusan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette