Pegawai Petaling, Datuk Mohd Misri Idris bersama kakitangan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Petaling melafazkan Ikrar Bebas Rasuah di Pejabat PTD Petaling

SHAH ALAM, 7 Feb (Bernama) — Pejabat Daerah Tanah Petaling di sini menjadi agensi pertama di Selangor menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha mewujudkan perkhidmatan yang adil, telus dan bebas gejala rasuah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata dengan pelaksanaan ikrar itu, pihaknya mahu sokongan dan komitmen setiap pegawai agensi berkenaan melaporkan sebarang perlakuan rasuah dalam urusan seharian mereka.

“Kami juga mahu setiap vendor dan kontraktor berurusan dengan pihak berkuasa tempatan menandatangani ikrar ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani IBR di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pegawai Daerah Petaling Datuk Mohd Misri Idris mengetuai kakitangannya melafazkan IBR dengan disaksikan Wan Ramli.

IBR yang diperkenalkan tahun ini merupakan satu lagi usaha baharu SPRM yang menekankan ikrar serta janji dalam kapasiti individu oleh mereka yang diamanahkan tanggungjawab supaya menghindari daripada terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.

Dalam pada itu, Wan Ramli berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor bagi memastikan setiap guru besar, pengetua dan pegawai pendidikan daerah menandatangani IBR pada April depan.

Katanya terdapat kira-kira 936 guru besar dan pengetua sekolah di negeri itu.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Selayang akan turut menandatangani IBR dalam satu majlis pada 14 Feb depan. – MalaysiaGazette