Bank of America Corp. telah membuka tiga cawangan automasi penuh pada bulan lalu yang mana pelanggan boleh menggunakan mesin ATM dan melakukan sidang video dengan pekerja bank itu di cawangan lain, kata jurucakap Anne Pace.

Seperti kebanyakan bank di Amerika Syarikat ketika ini, Bank of America telah memperkecilkan jumlah cawangannya dalam usaha mengurangkan kos, malah pembukaan cawangan baharu dilakukan di pasaran terpilih.

Pada kebiasaan cawangan baharu adalah lebih kecil, menggunakan lebih banyak teknologi dan menyasarkan urusniaga pajakan, kad kredit dan pinjaman kenderaan berbanding transaksi mudah seperti penjelasan cek.

Pace berkata, terdapat cawangan automasi penuh di Minneapolis dan Denver, kedua-duanya berada di pasaran baharu bank itu, lapor Reuters.

Saiz kedua-dua cawangan tersebut adalah suku daripada saiz cawangan biasa.

Ketua Unit Perbankan Pelanggan Bank of America, Dean Athanasia menyatakan secara ringkas mengenai cawangan baharu itu semasa sesi soal jawab pada persidangan pelabur, namun beliau tidak memberi maklumat terperinci mengenainya.

Athanasia berkata, Bank of America akan membuka antara 50 hingga 60 cawangan baharu sehingga tahun depan walaupun Pace menyatakan bank itu juga akan menutup cawangan di pasaran tertentu dan bilangan cawangan baharu itu tidak akan mengubah jumlah bilangan cawangan keseluruhan bank itu. Bank of America membuka 31 cawangan baharu pada tahun lalu.