KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Daerah Hulu Langat menyifatkan penganjuran program Supermodel International Malaysia 2017 – Bikini Photograph Contest (BPC) yang bakal berlangsung pada 19 Februari di Bangi, Selangor sebagai mencabar sensitiviti penduduk setempat yang majoritinya beragama Islam.

Yang Di-Pertuanya, Mohd Noor Azib Asmangi yang kesal dengan penganjuran itu berkata, pihak penganjur jelas bersikap tidak sensitif terhadap sentimen umat Islam khususnya di Bandar Baru.

Jelasnya, tambahan pula Bangi menerapkan aspek ‘Bangi Bandar Berilmu’ dan menjadikan kehidupan Islam sebagai teras kepada penduduknya.

“Program seperti ini perlu dibatalkan sebagai menghormati penduduk yang majoritinya adalah Melayu Islam.

“Pihak Isma sendiri menolak sekeras-kerasnya penganjuran program yang tidak memberi manfaat kepada umat Islam sebegini dan yang mempromosikan program-program yang berbentuk sosial serta tidak bermoral secara terbuka begini,” katanya dalam porat Ismaweb.net di sini hari ini.

Sehubungan itu, Azib menggesa penduduk bersama-sama Isma menolak dan membantah program berkenaan daripada dianjurkan.

“Jadi, kita menyarankan penduduk menolak dan membantah program sebegini dianjurkan di Bangi.

“Kami akan berhubung dengan persatuan penduduk Bandar Baru Bangi untuk membincangkan bagi mengeluarkan petisyen bantahan bersama,” katanya.

Sejak semalam, tersebar di internet poster program tersebut yang dianjurkan oleh syarikat penganjuran acara, I Creative Event Sdn. Bhd. dan mendapat bantahan netizen.

Penganjur merancang untuk mengadakan pertandingan fotografi berbikini bertempat di Taman Tema Air dan Resort Bangi Wonderland yang terletak di Bangi Avenue.

Menerusi iklan itu, pemenang pertandingan kan memenangi wang berjumlah RM500, trofi dan tiket ke makan malam gala program itu dan tiketnya dujual pada harga RM300 seorang hingga mencecah RM10,000 bagi sebuah meja platinum. – MalaysiaGazette