Pakistan telah mengharamkan penayangan filem terbaharu lakonan Shah Rukh Khan, Raees, kata pengedar filem itu di Pakistan.

Filem yang turut dibintangi pelakon Pakistan, Mahira Khan, itu dijadual ditayangkan di seluruh negara itu pada 2 Februari lalu.

Lembaga Pensijilan Filem Pusat (CBFC) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengapa tayangan filem tersebut diharamkam.

Bagaimanapun, pegawai CBFC memberitahu BBC Urdu bahawa alasan berbuat demikian ialah kerana filem jenayah itu ‘memberi gambaran Muslim sebagai penjenayah dan pengganas’.

Beberapa babak dalam filem itu juga ‘menyinggung perasaan mazhab tertentu’, tambah pegawai itu.

Syiah di India membantah terhadap babak yang membabitkan perarakan tahunan Syiah apabila sedutan filem itu disiarkan pada Disember lalu.

Raees berkisar kehidupan seorang ketua mafia Muslim, Raees Alam yang membina empayar minuman keras di Gujarat, barat India di mana penggunaan dan penjualan minuman keras dilarang.

Pegawai Ever Ready Pictures yang memiliki hak pengedaran filem itu di Pakistan memberitahu BBC bahawa CBFC mengkaji penayangan filem tersebut pada Jumaat lalu. Pada Isnin lalu, mereka dimaklumkan lembaga pensijilan itu memutuskan untuk mengharamkan filem tersebut.

Pemilik Attrium Cinemas, Nadim Mandviwala memberitahu BBC Urdu, Raees merupakan ‘filem utama’ dan penghatraman tayangannya ‘tidak bagus untuk perniagaan’, namun jika kerajaan berpendapat ia boleh mencetus ketegangan agama, mungkin tindakan yang dilakukannya itu adalah betul.

Bagaimanapun, pengarah filem Pakisrtan, Jami Mehmood kritikal terhadap keputusan tersebut.

“Orang ramai perlu mempunyai sifat toleransi terhadap pandangan pihak lain. Kita patut menonton filem India dengan pandangan warga India, seperti filem Iran yang ditonton di Amerika Syarikat,”. – BBC