JAKARTA – Bencana tanah runtuh di Bali semalam telah mengorbankan tujuh orang dan empat lagi cedera, kata seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara hari ini.

Agensi berita China Xinhua melaporkan hujan lebat yang melanda perkampungan Songan di daerah Bangli menyebabkan kejadian tanah runtuh dan meranapkan lima buah rumah dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam waktu tempatan pada Khamis.

Kesemua mayat mangsa berjaya ditemukan dan mereka yang cedera dihantar ke hospital berdekatan, kata jurucakap agensi itu Sutopo Purwo Nugroho kepada Xinhua.

Sutopo turut memberi amaran kepada penduduk di daerah Jembrana, Buleleng, Badung, Tabanan dan Gianyar kemungkinan kejadian tanah runtuh, banjir dan puting beliung mungkin berlaku lagi ekoran hujan lebat diramalkan pada Sabtu.-MalaysiaGazette