Rakaman menunjukkan asap memasuki gerabak keretapi selepas kebakaran berlaku. Foto Agensi

HONG KONG – Sekurang-kurangnya 17 orang cedera selepas kebakaran berlaku di sebuah gerabak kereta api  sistem bawah tanah Hong Kong.

Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memulakan kebakaran itu.

Setakat ini tidak ada bukti kebakaran itu bermotifkan keganasan.

Menurut laporan itu, seorang lelaki telah cuba untuk membuang bom petrol di dalam pengangkutan tersebut pada waktu puncak.

The South China Morning Post melaporkan seorang lelaki telah menjerit “bakar anda sampai mati” sebelum menyalakan bom petrol.

Pengguna media sosial telah berkongsi video yang menunjukkan seorang lelaki terbaring di atas platform yang terbakar ketika penumpang lain cuba untuk memadamkan api.

Gerabak yang terlibat adalah kereta api yang dalam perjalanan dari Admiralty ke stesen Tsim Sha Tsui. Dua mangsa yang cedera dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

Komander Polis Daerah, Kwok Pak-chung berkata, lelaki berusia 60 tahun itu telah ditahan.

“Menurut siasatan yang dilakukan setakat ini, kami percaya insiden itu disebabkan isu peribadi oleh seorang saspek. Tidak ada motif menunjukkan ia adalah serangan pengganas yang mensasarkan pengangkutan awam,” katanya. – MalaysiaGazette