Home Nasional Bayaran semester kedua selepas PTPTN terima pengesahan status pelajar

Bayaran semester kedua selepas PTPTN terima pengesahan status pelajar

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan membuat bayaran bagi semester kedua 2016/17 kepada para penuntut di universiti awam bagi jika menerima pengesahan status pengajian pelajar pada tarikh yang ditetapkan.

Universiti awam terbabit ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pusat Pengajian Profesional dan Pengajian Lanjutan (UTM Space), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, terdapat 11 universiti awam tidak dapat mengemukakan pengesahan bagi status pengajian pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurutnya, jika universiti awam dapat mengemukakan pengesahan status pelajar sebelum atau pada 14 Februari ini, bayaran akan dikreditkan dalam akaun pelajar mulai 24 Februari.

Bagaimanapun, pengesahan status pengajian pelajar yang diterima selepas tarikh itu hingga 26 Februari, bayaran akan dikreditkan mulai 7 Mac, menurutnya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, PTPTN sebelum ini telah menetapkan jadual bayaran dua kelompok iaitu kelompok pertama diberikan kepada universiti awam yang membuat status pengajian pelajar pada 14 Januari.

“Kelompok pertama ini akan menerima pembayaran yang dikreditkan ke dalam akaun pelajar bermula 24 Januari.

“Bagi pengesahan status pengajian pelajar yang dikemukakan pada 28 Januari, pembayaran akan dikreditkan ke akaun pelajar mulai 7 Februari.

“Bagaimanapun 11 UA terbabit tidak mengikut jadual berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, daripada 11 universiti awam, PTPTN telah menerima pengesahan status pengajian pelajar daripada USM, UPM, UMT, UMK, UNIMAS dan UTEM  dalam tempoh 1 Februari hingga 7 Februari 2017 dan pelajar di universiti-universiti tersebut akan menerima bayaran mulai 24 Februari 2017.

Bayaran kepada pelajar di lima universiti lain USIM, UTM Space, UMS, UMP dan UPNM tidak dapat diproses kerana PTPTN belum menerima pengesahan status pengajian pelajar daripada pihak universiti.

Para Pelajar boleh membuat semakan berkaitan tarikh penerimaan status pengajian pelajar dan tarikh bayaran yang terkini melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. – MalaysiaGazette