Rohani Borhan

KUALA LUMPUR – SHRF Food Industries Sdn. Bhd. yang mengeluarkan pes dan makanan segera jenama Sharifah bakal menggunakan mesin layan diri bagi meluaskan pasaran produk-produknya.

Pengarah Urusan SHRF Food, Rohani Borhan berkata, syarikat itu kini sedang mencari ejen tunggal yang mahu bekerjasama dengan syarikat itu dalam mengendalikan penjualan produk-produknya Sharifah melalui mesin layan diri.

Beliau yang juga pengasas kepada SHRF Food berkata, penjualan menggunakan mesin itu merupakan salah satu pendekatannya untuk memudahkan orang ramai mendapatkan produk-produk Sharifah di lokasi-lokasi tertentu seperti di pusat-pusat pengajian awam dan hospital.

“Kami telah menjalankan kajian dan mendapati produk Sharifah sesuai untuk ditempatkan di hospital-hospital, asrama, tempat-tempat awam yang lain.

“Ini kerana, mereka yang mahu makan nasi beriani hanya membeli melalui mesin layan diri yang mempunyai tahap kepanasan tertentu bagi menjamin ketahanan dan memelihara kualiti makanan yang dijual,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini.

Antara produk-produk jenama Sharifah yang dihaslkan oleh SHRF Food Industries Sdn. Bhd. foto ADIB AIMAN ROSLI, 19 JANUARI 2017
Antara produk-produk jenama Sharifah yang dihaslkan oleh SHRF Food Industries Sdn. Bhd. foto ADIB AIMAN ROSLI

Produk Sharifah yang menengahkan makanan ‘ready to cook’ dan ‘ready to eat’ mendapatkan pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil ISO 22000 serta persijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Setakat ini, Sharifah menghasilkan 46 produk. Antara produk pes yang dihasilkan adalah sambal tumis, nasi beriani, masakan kerutuk, masakan tiga rasa, masak taucu, kuah nasi dagang, mi goreng, nasi goreng kampung dan nasi beriani gam ayam.

Sementara untuk produk sedia dimasak pula adalah nasi beriani gam ayam, nasi beriani tomato, nasi beriani herba dan nasi beriani bukhari, manakala bagi produk sedia dimakan pula termasuklah kuah kari nyonya, kuah rendang, nasi beriani gam ayam, sambal sotong kering serta nasi goreng kampung.

Rohani berkata, semua produk masakan itu boleh didapati pada harga dari RM2.95 hingga RM13.

Katanya, dengan menempatkan dalam mesin layan diri, pelanggan tidak perlu bergegas untuk mendapatkan produknya di pasar-pasar raya sahaja.

“Cara ini akan memudahkan lebih ramai orang khususnya wanita-wanita bekerja,” katanya sambil menambah produk Sharifah itu dikeluarkan pada awalnya dengan mensasarkan golongan wanita yang bekerja.

Jelasnya, produk Sharifah bukan asing di Malaysia kerana kebanyakan pes keluarannya juga digunakan oleh restoran dan hotel.

Produk-produk jenama Sharifah kini boleh didapati di Mydin, Tesco dan Giant.

Rohani berkata, syarikat itu juga sedang mengintai peluang untuk meluaskan produknya ke China, Hong Kong, Taiwan dan Jepun selepas berjaya memasuki pasaran Singapura dan Brunei. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.