Pep Guadriola

MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tampil menamatkan segala spekulasi yang mengaitkan pemainnya Sergio Aguero yang didakwa bakal meninggalkan kelab itu akhir musim ini.

Menurut Guardiola, setakat ini, kelabnya tidak bercadang untuk menjual penyerang berbisa Argentina itu.

Katanya ia bukan niat sebenar kelab walaupun pemain itu bukan lagi pilihan kesebelasan utama dibawah bimbingannya sejak awal musim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bintang Argentina itu tidak lagi beraksi dalam kesebelasan utama sejak kehadiran Pep ke Stadium Etihad dan pembelian bintab Brazil Gabriel Jesus.

Pelbagai khabar angin mendakwa Aguero pasrah dengan layanan di Etihad dan mempertimbangkan cadangan untuk meninggalkan kelab itu.

Manchester City segera menafikan segala dakwaan kononnya pemain itu akan dijual akhir musim ini.

Guardiola berkata kelabnya tidak mempunyai idea untuk melepaskan pemain itu.

Aguero mengharapkan penampilan pasukan pertama semasa lawatan ke Bournemouth menjelang aksi EPL malam Isnin depan.

Bagaimanapun, Guardiola mengaku tertarik dengan prestasi memberangsangkan dari Raheem Sterling.

“Kini dalam pasukan terdapat lima pemain yang tidak dapat beraksi dan ia tidak adil kerana mereka berhak untuk bermain tetapi saya tidak mempunyai penyelesaian untuk itu,” katanya. – MalaysiaGazette