Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

KUALA LUMPUR – Jangan terpedaya dengan fatamorgana ciptaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itu komen mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohammad Fairus Khairuddin mengenai ‘pertemuan’ kali kedua melibatkan dua tokoh pembangkang itu semalam.

Beliau menganggapnya sebagai satu lakonan manusia munafik dan hipokrit.

“Sejak akhir-akhir ini layar politik tanah air sekali lagi menyaksikan sandiwara baru Mahathir-Anwar. Kelihatannya drama hiburan dua pelakon politik ini tiada berkesudahan.

“Majoriti pejuang reformasi versi Anwar tidak pernah boleh menerima Mahathir yang digelar MahaFiraun yang telah mereka sendiri masyhurkan kepada insan bernama Mahathir Mohamad.

“Daripada kumpulan Mahathir pula mereka telah pun jazam dalam memasyhurkan Anwar sebagai ‘peliwat’.

“Justeru apakah masih ada ‘kasih’ antara mereka? Enigma yang tidak berkesudahan membawa Fatamorgana baru ke pentas politik tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fairus, kedua-dua mereka punyai rekod merosakkan Islam.

“Kedua-dua mereka kini dengan jelas menjadi pembawa panji-panji pemikiran pluralisme dan liberalisme yang jelas sesat lagi menyesatkan dan mendekati kekufuran.

“Oleh yang demikian apakah nasib Islam dan maruah bangsa akan benar-benar dibela oleh golongan sedemikian? Jawapan pastinya adalah tidak sama sekali,” tegasnya.-MalaysiaGazette