Home Ekonomi Keluaran getah asli naik pada Disember lalu

Keluaran getah asli naik pada Disember lalu

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat  5.2 peratus pada Disember 2016 kepada  69,727 tan metrik berbanding November 2016.

Jabatan Perangkaan berkata, penyumbang utama pengeluaran getah asli adalah dari sektor kebun kecil iaitu  92.9 peratus.

Harga purata bulanan Lateks Pekat adalah  615.88 sen sekilogram, naik  77.43 sen sekilogram daripada bulan sebelumnya.

Bagi Getah Mutu Malaysia 20, harga purata bulanan turut meningkat sebanyak  127.39 sen sekilogram kepada  839.55 sen sekilogram.

Menurutnya, eksport getah asli pada Disember 2016 dicatatkan sebanyak  61,380 tan metrik naik sebanyak  12.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Lima destinasi utama eksport getah asli adalah China, Germany, Iran, Amerika Syarikat dan Finland.

Sementara itu, penggunaan domestik getah asli jatuh  0.9 peratus kepada  40,838 tan metrik bagi tempoh yang sama. Industri sarung tangan getah kekal sebagai pengguna domestik utama getah asli iaitu  74.9 peratus.

Pada akhir Disember 2016, paras stok getah asli meningkat  10.4 peratus kepada  203,451 tan metrik, kata Jabatan Perangkaan. – MalaysiaGazette