Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Tindakan empat orang wakil rakyat DAP di Melaka keluar parti kelmarin membuktikan segala keputusan serta tindak tanduk kepimpinan DAP hanya sandiwara politik yang memakan diri.

Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, kepimpinan tertinggi DAP  jelas tidak mampu menyembunyikan kegagalan mereka bukan hanya dalam meyakinkan rakyat tetapi juga gagal meyakinkan ahli mereka sendiri.

Keempat-empat wakil rakyat DAP yang keluar parti itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bachang, Lim Jak Wong, Chin Choon Seong (ADUN Kesidang), Goh Leong San (ADUN Duyong) dan seorang Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him.

Jak Wong dan Choon Seong telah tampil menyerahkan surat keluar DAP mereka kepada Yang Dipertua DUN Melaka,Datuk Othman Mohamad semalam.

Siew Keong berkata, gagasan kerjasama politik DAP bersama PPBM, PKR & PAN serta kempen “Selamatkan Malaysia” baru-baru ini sekadar retorik politik semata-mata dan gagal mendapat kepercayaan ahli DAP sendiri.

“Ekoran daripada itu, sandiwara ini terbukti bukan sahaja mengakibatkan krisis keyakinan terhadap kepimpinan DAP hari ini tetapi turut menjerumus ahli-ahli DAP ke dalam masalah kecelaruan identiti.

“Kecelaruan identiti ini adalah berpunca daripada sikap pimpinan tertinggi mereka yang memilih untuk menjadi oportunis untuk terus bersandiwara demi kepentingan peribadi.

“Sehingga hari ini, sebahagian besar ahli DAP masih keliru, siapakah pemimpin de facto pakatan pembangkang dan apakah hala tuju perkembangan pakatan pembangkang yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkara yang sama, Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, di bawah pimpinan Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang, pimpinan DAP lebih menyanjungi orang luar yang juga pernah menjadi musuh mereka iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menafikan sumbangan ahli-ahli yang lama berjuang untuk parti mereka.

Dalam hal ini katanya, kehilangan 50 peratus kerusi DUN dan satu-satunya kerusi Parlimen di Melaka semalam telah menggambarkan kegagalan kepimpinan DAP.

Ujar beliau ia juga memberi bayangan kepada rakyat Malaysia bahawa parti DAP tidak mampu untuk menawarkan keadaan sosio-politik negara yang stabil, kukuh dan mapan pada masa hadapan.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menilai akan kemampuan sebenar parti pembangkang dalam arus perkembangan dunia yang semakin mencabar.

“Kepimpinan Barisan Nasional adalah gabungan yang mampu menawarkan sebuah pemerintahan yang lebih stabil daripada segi sosiopolitik serta makmur dari segi pembangunan ekonomi bersifat inklusif,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Comments are closed.