Projek-projek infrastruktur seperti MRT dijangka terus memacu aktiviti pelaburan negara. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ekonomi dijangka terus merekodkan pertumbuhan mampan meskipun persekitaran luaran mencabar, dipavcu oleh permintaan dalam negeri.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, penggunaan swasta akan disokong oleh pertumbuhan upah dan guna tenaga, dengan dorongan tambahan daripada pengumuman langkah-langkah kerajaan untuk menyokong pendapatan boleh guna isi rumah.

Aktiviti pelaburan pula dijangka diteruskan dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur secara berterusan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Pada masa hadapan, ekonomi global dijangka bertambah baik namun terus berada pada landasan pertumbuhan yang sederhana walaupun terdapat tanda-tanda pertumbuhan yang mampan dalam ekonomi utama pada tahun 2017, risiko kepada pertumbuhan global terus meningkat.

“Ini berikutan harga komoditi yang tidak menentu, ketidakpastian dasar dan prospek pertumbuhan ekonomi maju utama, kegiatan mengelak risiko yang semakin nyata dalam pasaran kewangan global dan juga perkembangan geopolitik,” tambah BNM dalam kenyataan perkembangan ekonomi dan kewangan 2016 hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, BNM menambah, sistem kewangan Malaysia juga kekal berdaya tahan meskipun terdapat ketidakpastian global terhadap pelarasan dasar dalam ekonomi-ekonomi utama.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh, dengan mudah tunai yangebih daripada mencukupi untuk menyokong keperluan pembiayaan perniagaan dan isi rumah.

Dengan pelarasan berterusan oleh perniagaan dan isi rumah terhadap prospek ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang semakin meningkat, penampan kewangan ini akan menyokong daya tahan institusi kewangan.

BNM berkata, melangkah ke hadapan, perkembangan luaran akan terus menambah tekanan terhadap turun naik pasaran kewangan domestik.

Ini termasuk meningkatnya ketidakpastian terhadap perkembangan politik dan pertumbuhan dalam ekonomi utama selain harga komoditi yang tidak menentu.

Namun, kestabilan sistem kewangan domestik dijangka terus terpelihara memandangkan institusi kewangan mempunyai kapasiti menyerap kerugian dengan sokongan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh.

Bank Pusat itu berkata, kedudukan modal institusi kewangan pula kekal kukuh dan penampan modal bank, syarikat insurans dan pengendali takaful yang digabungkan berjumlah RM172.5 bilion. – MalaysiaGazette