Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mempertahankan tindakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus membawa keranda ke pekarangan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Isnin lalu.

Tindakan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu kata Noh, hanya simbolik kepada penyelewengan oleh kerajaan negeri terhadap beberapa program seperti skim khairat kematian, bukannya berbentuk ugutan.

Beliau berkata, sepatutnya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung dakwaan Jamal mengenai penyelewengan skim berkenaan.

“Menerusi skim khairat kematian yang ditawarkan kerajaan negeri, pewaris atau keluarga si mati akan diberikan bantuan sebanyak RM2,500, tetapi ada yang menyatakan hanya terima RM500 atau paling kurang RM300.

“Cara pengeluaran duit itu pula hanya menggunakan ATM yang dipegang oleh individu tertentu, malah saya baca kenyataan Jamal, hasil pemeriksaan beliau ada pengeluaran wang berkenaan dibuat di Pulau Pinang dan di Sabah dan Sarawak pun ada, jadi Jamal hanya mahu Menteri Besar menjelaskan kepada rakyat perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program majlis ramah mesra bersama penduduk Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) di Pinggiran Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Kata Noh, apa yang dibuat oleh Jamal bukan berbentuk ugutan, tetapi hanya simbolik yang melibatkan khairat kematian.

“Skim ini niatnya baik, tetapi pelaksanaannya gagal, sebab itu Jamal bawa pengusung jenazah, ia bukan satu ugutan. Sebaliknya sesuai sebagai simbolik skim kerajaan negeri untuk bantu keluarga orang yang meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati terdapat unsur manipulasi dan mengambil kesempatan terhadap pihak pengurusan van jenazah dalam demonstrasi di bangunan SUK.

Menurut Pengarahnya, Datuk Haris Kasim, pihaknya juga kesal dengan tindakan beberapa individu yang mengeksploitasi kemudahan masjid. – MalaysiaGazette